Wednesday, October 12, 2011

KAU SAHABATKU

‘Sayangi sebuah perkenalan kerana di situ terciptanya kemesraan. Kenangi sebuah persahabatan kerana di situ tercipta kerinduan, hargai kedua-duanya kerana itulah rahmat dari Tuhan.’

Salam
Apa khabar? Anis harap Za sihat selalu. Anis Alhamdulillah sihat cuma seperti biasa sibuk dengan kerja dan tanggungjawab. Seingat Anis sudah lama kita tidak berhubung. Za seakan melarikan diri dari Anis. Apa salah Anis? Anis berharap semoga Za dapat memberi penjelasan kepada Anis. Segalanya untuk kebaikan kita berdua juga. Anis sayangkan Za....Anis sayangkan persahabatan kita...Za. Malah Anis sudah menganggap Za sebahagian dari keluarga Anis.
Wassalam
Anis.

Anis membaca e-mail itu berulang kali dengan satu perasaan sayu sebelum Anis menghantarnya kepada Zakiah. Zakiah merupakan kawan rapat Anis sejak umur Anis 6 tahun. Kebetulan pula rumah mereka berada di dalam satu taman ketika itu. Sama-sama pergi dan balik dari sekolah tadika. Kemudian ketika di sekolah rendah, selama 6 tahun berturut-turut mereka di dalam kelas yang sama. Sehinggalah mereka terpisah ketika naik sekolah menengah. Itupun hanya jasad sahaja yang terpisah kerana mereka masih berhubung setiap waktu. Sama ada melalui surat, telefon ataupun mereka akan berjumpa semasa cuti sekolah. Keakraban Anis dan Zakiah makin erat setelah mereka sama-sama dapat melanjutkan pelajaran di universiti. Walaupun bukan di universiti yang sama, tetapi mereka tetap berhubung dengan lebih kerap deng
‘Kalau nak tahu Anis kat mana, tanyalah Zakiah’ teringat kata kawan-kawan mereka dahulu. Begitulah juga sebaliknya kalau nak tahu di mana Zakiah tanyalah Anis. Kini, hubungan Anis dan Zakiah sudah semakin hambar. Tambahan pula, keluarga Anis sudah berpindah ke negeri lain kerana ayah Anis sudah bersara. Dan kini Anis pula telah bekerja di utara semenanjung. Kalau dihitung dengan jarak pemisah memang ia satu ukuran yang boleh dijadikan alasan. Namun, sewaktu Anis belajar di luar negara dahulu jarak pemisah tidak pula menjadi alasan. Kata orang ‘nak seribu daya, mahu seribu cara’. Tetapi kini, ‘nak seribu daya, dan tak nak seribu alasan’. Semuanya berpunca kerana seorang lelaki.
Anis teringat kenangan bersama Zakiah.
‘Anis..nak tau cerita terbaru kawan-kawan lama kita tak?’ tanya Zakiah dalam telefon suatu hari.
‘Mestilah nak....apa ceritanya? Siapa yang beritahu Za?’
‘adala yang beritahu’ Zakiah seakan berahsia dengan Anis. Kedengaran gelak kecil Zakiah di hujung telefon.
‘Ok..dengar bebaik...ingat Suhaimi? Ala...yang duduk sebelah Zaki dulu. Dia sekarang ambik perubatan dekat UM. Shahirah pula sekarang belajar kat KUSTEM. Zaki sekarang dekat MMU. ......’ Hampir sejam Zakiah dan Anis bercerita tentang kawan-kawan lama.
‘Za....siapa yang bagi maklumat dekat Za pasal kawan-kawan kita?’tanya Anis secara tiba-tiba.
‘Za telefon Amar semalam...Amar la yang cerita’
‘Za dengan Amar ada apa-apa ke? Ceritala Za....takkan malu-malu dengan Anis kot?’ pancing Anis untuk tahu cerita sebenar.
‘mana ada apa-apa dengan dia la Anis...Za memang selalu telefon dia. Lepas tu semalam dia ada minta nombor telefon kawan-kawan lama. Nombor Anis Za beri juga tau.’ Terang Zakiah pada Anis.
Selang beberapa hari. Anis mendapat satu pesanan ringkas (sms) dari Amar. Bertanya khabar dan tanya perkembangan terbaru. Dan dari situlah segalanya bermula.Bermula hubungan Anis dan Amar serta bermulanya perselisihan faham dengan Zakiah. Semakin rapat Anis dengan Amar, semakin menjauh pula Zakiah dari diri Anis. Walaupun Zakiah tidak pernah bertanya pada Anis tentang cerita sebenar Anis dan Amar tetapi dapat dirasakan disitu segalanya bermula.
Kini, sudah hampir dua tahun Anis berkawan rapat dengan Amar dan selama itu juga Zakiah seakan melarikan diri. Bermacam-macam cara perhubungan telah Anis cuba semuanya gagal. Memang benar agaknya Zakiah ingin melarikan diri dari Anis. Tetapi dalam hal ini bukan salah Anis dan Amar.Diri Anis bukannya perampas kerana Amar dan Zakiah tidak pernah ada apa-apa sebarang hubungan. Malah, Amar sendiri hanya menganggap Zakiah sebagai kawan seperti mana Amar berkawan dengan kawan-kawan perempuan yang lain. Hanya mungkin Zakiah yang menyimpan perasaan terhadap Amar. Apapun segalanya mungkin. Hanya Allah sahaja yang tahu. Anis tidak putus-putus berdoa semoga hubungan persahabatan antara Anis dan Zakiah kembali baik seperti dahulu kala. Ibu bapa Anis pun kerap bertanya itu ini tentang Zakiah. Penat juga Anis menerangkan. Penjelasan dibuat untuk kebaikan dua-dua pihak. Anis seboleh-boleh nak mengelakkan ibu bapanya tahu dengan apa yg berlaku, Cuma Anis menyatakan perihal mereka yang semakin sibuk sejak mempunyai dan kerjaya masing-masing ada kehidupan yang tersendiri.
Pagi itu, sampai sahaja di pejabat Anis segera membuka kedua-dua e-mailnya. Email untuk kegunaan rasmi dan tidak rasmi. Kedua-duanya sama penting dan ada kepentingan tersendiri. Tiba-tiba mata Anis terpaku pada satu email di ruangan inbox. Pengirimnya amat dikenali ‘Zakiah Ibrahim’.

Salam..
Apa khabar sahabatku Anis?
Terima kasih atas kiriman email-email...maaf baru hari ini Za reply. Sebetulnya Za lama tak sihat...hati Za sakit Anis. Apapun, alhamdulillah Za dah sembuh sekarang. Hati Za dah diubati. Dan Za sedar persahabatan kita lebih utama. Maafkan Za....sebab mendiamkan diri dari Anis sedangkan diri Za sendiri yang bersalah. Menyimpan perasaan pada Amar sejak dulu...tapi rupanya Amar yang sukakan Anis. Itupun semua cerita lama.....Alhamdulillah Za sudah pun berjumpa dengan seseorang. Dan kalau tiada aral insyaAllah Za akan berkahwin dengannya hujung tahun ni. Apapun, Za rindu sangat pada Anis. Za terasa nak jumpa Anis. Kalau Anis dah maafkan Za, sudilah kiranya hubungi Za kembali untuk kita berjumpa.
Salam sayang,
Zakiah.
012-3875474

Sekali lagi Anis rasa sebak dan terasa benar Allah dekat padanya. Allah Maha Mendengar doa hamba-hambaNya.

'Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk' -Surah Al-Baqarah ayat 45

Anis tidak sanggup kehilangan sahabat baik seperti Zakiah, susah dan senang bersama. Zakiah sanggup mengorbankan segala kepentingannya untuk diri Anis. Tambahan pula sudah sekian lama mereka kenal dan bersama-sama.


Sahabat yang baik adalah lebih mahal dari segunung emas permata. Oleh itu apabila kamu berdoa janganlah kamu minta segunung emas permata tetapi mintalah dari tuhanmu sahabat yang soleh.
Saat itu juga Anis mencapai telefon untuk menghubungi Anis.

‘assalamualaikum....Za...’ Anis memulakan perbualannya di telefon. ‘Wa’alaikumussalam..............’ jawab Zakiah. Zakiah masih mengenali suara Anis. Dan kemudiannya hanya kedengaran suara tangisan. Tangisan mereka berdua.
‘Za tak sanggup kehilangan Anis...’ Zakiah bersuara setelah reda tangisan mereka berdua.
‘Anis pun sama...dua tahun Anis rasakan kehilangan sesuatu..jangan buat macam ni lagi Za’ jawab Anis pula.

Kata2 imam al Ghazali 'Apabila kamu suka kepada seseorang itu, maka sukalah dengan berpada pada kerana mungkin pada suatu hari nanti kamu akan membencinya. Apabila kamu benci kepada seseorang itu, maka bencilah dgn berpada pada, kerana mungkin pada suatu hari nanti kamu akan menyukainya'
'sahabat itu dilihat dari agama ...' Setinggi-tinggi ukhuwwah ialah ithar (mengutamakan org lain dari kepntgn dirinya) , manakala serenda- rendah ukhuwwah ialah salamatus sodri (berbaik sangka)....
“Jika engkau ingin bersahabat dengan seseorang, buatlah dia marah. Maka, jika dia tetap berlaku adil kepadamu dalam kemarahannya, jadikanlah ia sahabatmu. Tetapi jika tidak demikian tinggalkanlah dia” Saidina Ali

sumber: KAU SAHABATKU ( CERPEN MAJALAH CAHAYA OGOS 2006)
OLEH: THE ETERNAL ROSE